Sunday 9 October 2016

Kesantunan Bahasa

            Masyarakat  kita  sedang  menghadapi krisis pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi, apatah  lagi  komunikasi yang bersifat rasmi. Kian ketara ialah pengabaian  sejumlah  anggota
masyarakat  pelbagai  lapisan terhadap  bahasa  sebagai  unsur teras kebudayaan dan tamadun.” Demikian ditegaskan oleh  tokoh bahasa, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan  ketika  membentangkan  kertas utama yang bertajuk Melestarikan  Bahasa  Melayu dalam  Komunikasi  dalam  Seminar  Kesantunan  Berbahasa Peringkat  Kebangsaan  pada  28 hingga 29 Mac 2007 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.  
           Tegas  beliau,  “krisis  pembudayaan  bahasa  Melayu  dapat diperhatikan dalam dua bentuk, iaitu, krisis pembudayaan dalam hal taraf dan kedudukan bahasa Melayu  sebagai  bahasa  rasmi dan bahasa ilmu, dan krisis pembudayaan  tentang mutu penggunaan  bahasa  Melayu  dalam  pelbagai ranah seperti pentadbiran, media massa, pendidikan dan di tempat  awam.  Pelestarian  bahasa  Melayu  dari sudut  taraf  dan fungsinya  serta  penggunaannya penting  untuk  menyuburkan amalan komunikasi  yang  baik dan  berkesan,  sekali  gus  dapat  mengangkat  martabat  bahasa Melayu  sebagai  bahasa  tonggak tamadun bangsa.”  
           Seminar  anjuran  Institut Perguruan Sultan Mizan, Dewan Bahasa  dan  Pustaka  Wilayah Timur  dan  Kerajaan  Negeri  Terengganu  ini  bertujuan  untuk menghayati  dan  menerapkan bentuk serta strategi komunikasi yang bersopan dan beretika bagi mengatasi  kepincangan  aspek penghayatan nilai serta adab kesopanan  dan  kesantunan  berbahasa  yang  semakin  diabaikan dalam  kalangan  masyarakat. Di samping itu, seminar ini diharapkan dapat memberikan input dan maklumat  baharu  kepada  para ilmuwan  dan  pentadbir  sekolah agar  dapat  menerapkan  aspek kesantunan  berbahasa  dalam Pengajaran  dan  Pembelajaran (P&P) sekali gus memartabatkan bahasa  Melayu  sebagai  bahasa rasmi,  bahasa  komunikasi  dan bahasa perpaduan.
          Seminar  yang  dihadiri  oleh 200  orang  peserta  yang  terdiri daripada  pensyarah,  pegawai kerajaan,  guru,  bakal  pendidik, penggiat bahasa dan masyarakat umum ini telah dirasmikan oleh Pengarah  Institut  Perguruan Sultan  Mizan,  Tuan  Haji  Nik Arif  Raja  Yusof.  Dalam  ucapan  perasmiannya,  beliau  menegaskan  bahawa  “penerapan kesantunan  dan  budi  bahasa dalam komunikasi amat penting untuk membentuk generasi yang berkualiti  dan berkeperibadian tinggi. Oleh itu, beliau berharap agar  seminar  ini  dapat  menyemarakkan  rasa  cinta  terhadap bahasa  kebangsaan,  mengangkat martabat bahasa Melayu dan menyuntik semangat para peserta agar terus menjadikan budaya santun  berbahasa  sebagai  amalan.”
          Seminar  ini  berjaya  menarik tumpuan  peserta  melalui  pembentangan  kertas  kerja  oleh tokoh-tokoh  tersohor  seperti Bapak  H.  Tenas  Affendi  dengan tajuk  kertas  kerja  Kesantunan Berbahasa dalam Konteks Sosial. Dalam  kertas  kerjanya  beliau mengajak  peserta  menghayati nilai-nilai  kesantunan  yang  terkandung dalam pantun dan  ungkapan  adat  Melayu.  Di  samping Bapak  H.  Tenas  Affendi,  turut membentangkan  kertas  kerja ialah Y. Bhg. Datuk Haji A. Aziz Deraman,  Prof. Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif (UPM),  Tuan Haji  Mohd  Samsudin  Mahmod dan  Dr.  Robiah  Kulop  Hamzah (Institut  Perguruan  Bahasa Melayu Malaysia).
          Rumusan  yang  dicapai  daripada pembentangan enam kertas kerja  dalam  seminar  ini  ialah kesantunan  berbahasa  dalam komunikasi  perlu  dipupuk  dari semasa  ke  semasa  agar  dapat melahirkan  masyarakat  atau modal insan yang berkaliber dan berkualiti, selari dengan cabaran globalisasi  demi  kepentingan agama, bangsa dan negara


No comments:

Post a Comment