Tentang Kami

Sunday, 9 October 2016

Hiburan Melampau

Hiburan adalah perbuatan, aktiviti atau sebagainya bertujuan untuk menghiburkan, menyenangkan, dan mententeramkan hati dan diri, itulah pentakrifan secara umum untuk hiburan. Sekiranya kita melihat kepada negara kita Malaysia khususnya, hiburan telah berkembang luas dan telah mengambil tempat yang cukup luas dalam cabang sosial. Kita juga dapa melihat perkembangannya dalam media massa tidak kira media cetak atau media elektronik. Perkara inilah mendatangkan kebimbangan dalam kalangan umat islam di Malaysia. Tidak dinafikan terdapat perbincangan yang cukup panjang lebar dikalangan para ilmuan Islam mengenai apakah hiburan itu bolehkan ataupun tidak, bukan tujuan artikel ini untuk membincangkan mahupun membahaskan perbincangan tersebut, tetapi kesimpulan yang dapat dibuat terdapat sebilangan para Ilmuan telah mengharuskan hiburan dengan hujah dan dalil mereka yang tersendiri dengan meletakkan syarat yang cukup terperinci dan ketat. Terdapat juga sebilangan para ilmuan mengambil tindakan yang berhati-hati dengan tidak mengharuskan apa hiburan beserta hujah dan dalil yang tersendiri.
Kehidupan berpoya-poya yang penuh dengan kelazatan dan keseronokan yang melampau, hiburan sepanjang hari siang dan malam tanpa ada batasan sudah tentu akan melupakan anak-anak muda kita terhadap tanggungjawap mereka kepada agama serta akan menjahilkan mereka dengan ilmu agama. Apabila ini berlaku maka mereka tidak akan lagi mempedulikan apa yang agama suruh dan apa yang agama larang, tidak memperdulikan dosa dan pahala, halal dan haram. Bagi mereka hidup hanya sekali, dan inilah masanya untuk mereka berseronok dan bersukaria tanpa mereka sedar bahawa kematian akan datang menjemput pada bila-bila masa tanpa mempedulikan usia muda mereka. Apabila ini berlaku, maka berjayalah perancangan musuh terhadap kita semua.

Hakikat tentang kehidupan dunia yang penuh dengan keseronokan dan hiburan yang melalaikan ini telah diperingatkan oleh Allah s.w.t beberapa kali dalam al-Quran, di antaranya ialah:
Yang bermaksud : Kehidupan dunia ini hanyalah mainan dan  keseronokan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik daripada dunia bagi mereka yang bertakwa, tidakkah kamu berfikir?.
Maksiat perbuatan peribadi? Sebenarnya memang betul maksiat dan apa juga perbuatan jahat adalah perbuatan peribadi seseorang dan dialah yang bertanggungjawab ke atas dosa dan hukuman yang mungkin dikenakan di dunia dan akhirat. Tetapi ini bukan bererti seseorang itu bebas secara mutlak dalam melakukan kejahatan peribadi kecuali jika dia melakukannya secara tersembunyi tanpa pengetahuan orang dan tidak memudaratkan masyarakat. Jika dalam keadaan begini seseorang itu melakukan kejahatan, dia dianggap bebas untuk melakukannya. Dari segi hukum agama pun dia dianggap terlepas daripada hukuman di dunia. Bagaimanapun, di pihak lain dia tidak bebas daripada dosa dan hukuman di akhirat terhadap perbuatan jahatnya kecuali jika bertaubat dan melakukan banyak kebajikan untuk kepentingan orang ramai. Taubat dianggap pembersih dan kebajikan dianggap penghapus dosa seseorang.
Kita dengan jelas melihat pada hari ini golongan muda-mudi yang bakal menerajui negara suatu hari nanti semakin hanyut diulik dengan hiburan-hiburan yang melalaikan sehingga mereka mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap diri  dan agama. Mereka terus menjadi mangsa perancangan musuh-musuh Islam yang mahu melihat generasi muda Islam tidak lagi berupaya membangunkan agama mereka. Bayangkan apakah nasib agama dan negara kita suatu hari nanti seandainya kepimpinan Negara kita diterajui oleh mereka yang jahil agama serta. Sudah tentulah Negara kita akan diterajui dalam keadaan hura-hara dan penuh dengan berbagai masalah serta tidak ada keberkatan dari Allah s.w.t.

Di kesempatan yang masih ada ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada demi masa depan agama, bangsa dan tanah air kita. Berpadalah dalam hiburan dan sekadar perlu sahaja. Didiklah anak-anak dengan peraturan agama, dan ajarlah mereka agar tidak mengabaikan tanggungjawap mereka sebagai khalifah dan juga pemegang amanah Allah di atas muka bumi ini. Bimbinglah dan dampingilah mereka dengan kasih sayang serta bertolak-ansurlah dalam perkara-perkara yang diharuskan, tetapi bertegaslah dalam perkara-perkara yang diharamkan. Semoga segala usaha dan amal yang kita lakukan akan sentiasa diberkati, di samping itu berdoalah semoga kita dimasukkan ke dalam golongan mukmin yang sentiasa diredhai oleh Allah s.w.t dengan beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.


No comments:

Post a Comment

Rotating X-Steel Pointer