Pada masa kini saban
hari kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan. Hal ini tidak kira sama
ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan
alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan
yang sedia ada. Namun bentuk-bentuk hiburan sebegini telah mengundang kealpaan
dalam diri manusia yang terlalu mengejar hal duniawi. Tidak salah seandainya
mahu berhibur namun, seseorang itu tidak boleh terlalu leka. Berbincang
mengenai hiburan, isu yang ingin diketengahkan di sini adalah mengenai fenomena
kebangkitan filem yang kebanyakannya merosakkan akidah umat Islam. Industri
hiburan tanah air kini semakin hari semakin berkembang dengan penghasilan
pelbagai bentuk filem atau drama tidak kira sama ada berunsur komedi, romantik,
aksi mahu pun seram. Hal ini merupakan suatu fenomena yang positif bagi
penggiat seni perfileman terutamanya yang menghasilkan filem berbentuk seram.
Justeru filem berunsur seram kini mendapat perhatian ramai penonton. Keadaan ini
dibuktikan apabila setiap kali tayangan filem berunsur seram ditayangkan di
pawagam-pawagam seluruh Malaysia, kutipan jualan tiket mendapat sambutan hangat
berbanding filem bercorak kerohanian. Situasi ini telah menyebabkan semakin
ramai pengarah filem tempatan mengambil peluang ini untuk menghasilkan
filem-filem berunsur hantu dan seram.
Seiring dengan
kebangkitan filem-filem berunsur hantu dan seram ini telah mendapat perhatian
ramai pihak. Ada di antaranya yang memuji dan menyokong lambakan filem ini dan
tidak ketinggalan juga yang mengkritiknya. Kebanyakan yang mengkritiknya adalah
disebabkan terdapat unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para
penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka
ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses
belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh
merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri
penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran
Islam.
Perkara ini sangat
membimbangkan kerana ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu dan
seram ini terdiri daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini
terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan
kanak-kanak sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah
generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan
terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai
jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada
penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu
rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan
daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan
tahyul, khurafat dan syirik. Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini
juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.